Alor Gajah: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan dengan kesan tetakan di belakang kepala dan badan selain putus telinga kanan di Jalan Hutan Percha-Machap, dekat sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mayat K Viswanathan, 22, berasal dari Serkam, Jasin ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam longkang di tepi jalan berkenaan oleh seorang anggota polis yang kebetulan melalui jalan terbabit.
Menurut sumber, pada awalnya anggota polis itu menyangkakan mayat berkenaan adalah mangsa langgar lari selepas melihat sebuah motosikal kira-kira empat meter dari lokasi mayat ditemui.
“Selepas diperiksa, anggota polis itu terkejut apabila mendapati objek yang disangka babi hutan itu adalah mayat seorang lelaki dalam keadaan berbaju namun seluarnya terlondeh ke paras lutut sebelum dia melaporkan kejadian di Balai Polis Hutan Percha,” katanya di sini, semalam.
Foto
ANGGOTA forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohamad Laham berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki Honda EX5 dipercayai dari arah Hutan Percha ke arah Bukit Bulat dihimpit sebelum dirempuh sebuah kereta dinaiki sekumpulan penjenayah dari arah sama.
“Mangsa yang terjatuh kemudian diserang menggunakan parang sebelum berlaku pergelutan. Mangsa dipercayai cuba melawan namun ditetak di belakang kepala dan penjenayah itu bertindak memijak tengkuk mangsa hingga patah.
“Malah telinga kanan mangsa turut dipotong, kumpulan penjenayah terbabit yang meninggalkan mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam longkang dipercayai turut membawa lari telinga mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Turut berada di lokasi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Operasi dan Risikan) Superintendan PR Gunarajan dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Alor Gajah Asisten Superintendan Md Dom Dolah.
Menurut Mohamad Laham, hasil siasatan awal di tempat kejadian turut mendapati kunci motosikal mangsa hilang, namun dompet mengandungi wang tunai RM200 dan beberapa dokumen penting miliknya tidak dilarikan.
“Polis turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bagi membantu mencari cebisan telinga mangsa yang di potong namun ia masih belum ditemui.
“Kami percaya kejadian ini dilakukan lebih dari tiga individu dan ia dipercayai bukan bermotifkan samun, sebaliknya berpunca dari dua faktor berkemungkinan membabitkan perebutan kawasan atau perempuan,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan kumpulan penjenayah berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi talian 06-5562222 atau balai polis berhampiran.
“Mayat mangsa dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya - Hmetro Online
0 comments:
Post a Comment