STOCKHOLM: Azizul Raheem Awalluddin, yang didakwa kerana memukul anaknya memberitahu mahkamah di sini bahawa tindakan itu bagi mendisiplinkan anak-anaknya tetapi tidak pernah mencederakan mereka.
Azizul berkata, dia memukul anak-anaknya kira-kira dua sehingga tiga kali dalam setahun sebelumnya ketika keluarganya masih berada di Malaysia dan Afrika.
Azizul, yang merupakan pengarah Tourism Malaysia berpangkalan di sini sedang menjalani perbicaraan bagi hari ketujuh di mahkamah daerah Solna.
"Tujuannya adalah untuk membuatkan mereka (anak-anak) faham apa yang mereka lakukan itu adalah salah, bukan untuk menyeksakan atau mahu menyakitkan mereka," kata Azizul ketika ditanya mengapa dia memukul anak-anaknya.
Azizul dan isterinya, Shalwati Nurshal, ditahan pada 18 Disember tahun lepas selepas anak kedua mereka, Ammar memberitahu kakitangan di sekolahnya yang dia telah dipukul, sehingga menyebabkan satu laporan dibuat kepada pihak berkuasa.
Azizul yang memakai jaket hitam dan tali leher begitu yakin menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh pendakwa Anna Arnell, dalam bahasa Sweden dan diterjemahkan kebahasa Inggeris.
Ketika ditanya adakah dia merupakan seorang bapa yang tegas, Azizul menjawab bahawa dia menjadi kurang tegas selepas anak keempatnya, Adam, dikeluarkan dari tadika di Afrika disebabkan oleh masalah pembelajaran.
"Selepas itu saya tidak begitu tegas, saya sedih apabila Adam dihantar ke sekolah kanak-kanak kurang upaya," kata Azizul, sambil mengelap air matanya.
Pada 10 Februari lalu, Shalwati dan Azizul didakwa atas pelbagai kesalahan kerana melanggar integriti kanak-kanak secara kasar, dengan memukul dan mencederakan anak-anaknya.
Pasangan itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Spanga, di pinggirStockholm, antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
sumber: Mstar online
0 comments:
Post a Comment