Dugaan pengantin baru Syamsul-Sarah
Selamat bergelar suami isteri kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof dan pelakon Puteri Sarah Liyana yang melangsungkan pernikahannya pagi semalam. Sehingga detik akhir melangkah gerbang perkahwinan, pasangan ini terus berdepan dugaan dan ujian Allah.
Tidak sampai seminggu sebelum disatukan, Syamsul dimasukkan ke Pusat Perubatan Gleneagles kerana demam dan disahkan menghidap denggi.
Sehingga petang kelmarin, Syamsul masih ditahan di wad tetapi majlis pernikahannya tetap diteruskan sebagaimana dirancang atas permintaan Syamsul, jam 10 pagi semalam.
Selesai nikah, Syamsul kembali mendapat rawatan dan majlis resepsi pengantin perempuan pada sebelah malamnya ditunda pada akhir bulan ini. Puteri Sarah turut berkongsi gambar majlis berinai yang berlangsung Khamis lalu di laman sosial Facebook (FB).
Minggu lalu juga, penyanyi Min Yasmin, 25, dan komposer Julfekar Ahmad Shah, 49, berkongsi berita gembira di FB apabila permohonan untuk melangsungkan pernikahan pada awal bulan depan diluluskan, Khamis lalu. Mereka juga menghadiri kursus kahwin tahun lalu dan berharap segala perancangan pernikahan berjalan lancar. Kata Min, mereka akan disatukan pada 4 April depan di Masjid Kota Damansara, diikuti majlis resepsi sebelah pihaknya pada 5 April. “Ikut perancangan, majlis resepsi sebelah lelaki pada 6 April kerana mahu langsungkan majlis tiga hari berturut-turut, tetapi terpaksa ditunda kepada 13 April untuk memberi laluan kepada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH2013 (ABPBH2013),” katanya.
Mengenai persiapan, kata Min, segala-galanya berjalan lancar. Ibunya mahu lakukan sendiri untuk anak perempuan sulungnya dan lebih mengharukan Min kerana keluarganya teruja menanti hari bahagianya.
“Min bukan saja anak sulung daripada empat beradik perempuan, malah cucu perempuan pertama. Datuk dan nenek tidak sabar-sabar menyaksikan cucu sulung mereka kahwin,” katanya.
0 comments:
Post a Comment