Berikut adalah paparan dari akhbar online, myMetro yang bertemu Engku Emran apatah lagi spekulasi perpisahan beliau dengan Erra masih menjadi perhatian ketika itu.
Pertemuan secara tidak sengaja dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada akhir Jun 2012 memberi peluang untuk bertanya mengenai spekulasi rumah tangganya dengan Erra Fazira.
Walau cuba mengelak, Emran akhirnya akur dengan syarat ia bukan untuk paparan masyarakat di akhbar. Bersaksikan beberapa rakan lain, air mata Emran jatuh petang itu apabila bercerita mengenai kemelut rumah tangga mereka.
Katanya, dia masih berharap perkahwinan itu yang dibina pada 25 Oktober 2007 dan dikurniakan anak perempuan yang comel dan bijak, Engku Aleesya dapat diselamatkan.
Namun pada 18 Februari lalu, sekali lagi air mata Emran menitis selepas melafazkan cerai di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, sekali gus menghancurkan harapannya selama ini.
Hari itu juga spekulasi mengenai rumah tangga mereka terjawab selepas lebih setahun jadi tanda tanya. Difahamkan, lebih setahun Erra memfailkan permohonan cerai dan segala perbincangan mengenai hak penjagaan anak dan nafkah dibincangkan peguam masing-masing.
Mereka bersetuju berpisah secara baik dan lafaz cerai dilakukan di mahkamah pada 18 Februari lalu dan Emran mendapat hak penjagaan anak dan Erra mendapat hak lawatan bermalam, cuti sekolah dan cuti perayaan secara bergilir-gilir.
Pastinya ia bukan penamat cerita kerana selepas ini spekulasi demi spekulasi akan terus diperkatakan. Apa punca perceraian dan mengapa Erra memberi hak penjagaan anak kepada Emran sedangkan ibu lebih berhak. Erra juga tidak menuntut nafkah.
Apakah ada orang ketiga menyebabkan runtuhnya rumah tangga dibina? Pelbagai persoalan yang tentunya hanya Erra dan Emran tahu punca sebenar kerana mereka yang melayari bahtera rumah tangga dan kita orang luar hanya mampu membuat andaian.
Yang jelas, begitu mahal harga kebebasan Erra dengan mempertaruhkan Aleesya, ibarat nyawa bagi Erra. Berat mata memandang, berat lagi bahu Erra memikul.
Pastinya keputusan Erra sudah nekad dan melihat itulah jalan terbaik untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku. Perceraian adalah jalan terakhir jika mahligai dibina tidak dapat diselamatkan lagi.
Nama Erra Fazira itu sendiri begitu mahal harganya. Selepas dimahkotakan Ratu Cantik Malaysia/Universe pada 1992 kemudian membintangi Sembilu pada 1993, bermulalah perjalanan hidupnya sebagai anak seni.
Setiap apa dilakukan dan diucapkan akan menjadi perhatian. Harga yang perlu dibayar Erra sangat tinggi sehebat kegemilangan diterima apabila digelar primadona filem Melayu alaf baru.
Cinta sejati yang dicari dan diharapkan masih belum ditemui apabila seorang demi seorang lelaki yang hadir dalam hidupnya tidak bertahan lama.
Selepas bercerai dengan Yusry, ramai meramalkan Emran adalah lelaki yang mampu menjadi pelindungnya dan akan menghabiskan usia tuanya bersama hingga kekal hujung nyawa. Kebahagiaan mereka tambah lengkah apabila dikurniakan cahaya mata.
Namun percaturan Allah tiada siapa mampu menolaknya, tentu ada hikmah atas semua ini.
0 comments:
Post a Comment